
Hari ini aku tidak bercadang untuk menyambung tulisan tentang alma mater ku yang nun jauh di Kuala Kangsar. Memang banyak yang boleh diungkap, ditulis dan diceritakan tentang tempat bertuah itu. Manakan tidak, 5 tahun bukan jangka masa yang pendek. Apatah lagi, hampir separuh usia muda remajaku dihabiskan di sana, semenjak semuda 12tahun hinggalah tamat SPM ketika umur 17 tahun. Bersama sekumpulan anak-anak Melayu yang terpilih, dengan guru-guru yang terpilih. Seperti kata orang-orang tua, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Insyaallah, akan ku sambung cerita berkenaan tempat bertuah itu. Tapi kali ini aku ingin bercerita tentang sabuah cita-cita (atau tanggungjawab?).
Tahun 2006 merupakan satu tahun yang keramat. Keramat kerana ianya banyak mencorak dan memberi kesan yang besar dalam hidup ku. Tahun itu syarikat Naluri Pintar Sdn Bhd ditubuhkan. Kini, sudah 4 tahun berlalu, syarikat itu masih ada, masih terus 'berjuang' dalam arena perniagaan yang bukan mudah untuk diharungi. Pepatah Melayu ada menyebut, " berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul'. Itulah hakikatnya, hanya kami yang melaluinya merasai suka duka, perit payah sebuah kehidupan, merentasi ranjau-ranjau penuh duri demi sebuah harapan dan cita-cita.
Gambar di atas, bukanlah gambar terbaru, diambil ketika kami mengadakan majlis makan malam pada tahu 2008. Walaupun, majlis kami tidak se-gah majlis-majlis seperti yang diadakan oleh syarikat-syarikat gergasi, tetapi cukup bermakna dan beerti bagi kami. Ia adalah lambang sebuah kasih sayang, kerjasama dan persaudaraan, juga satu pencapaian.
Itulah gambar yang terakhir dalam satu kumpulan bersama warga Naluri Pintar bagi sesetengah dari mereka. Ada yang telah tidak bersama kami lagi kerana mencari peluang dan harapan yang lebih baik. Tidak salah bagi mereka dan bagi kami yang tinggal, juga tidak mengapa kerana itu pilihan mereka dan harapan serta doa kami sentiasa bersama mereka. Memang tidak dapat dinafikan ada yang putus asa di tengah jalan, ada yang tidak tahan kerana bukan kesusahan dan cabaran yang dicari tetapi kejayaan dan kekayaan. Memang, itulah yang ramai mencari-cari. Tapi sesungguhnya kejayaan tidak pernah datang bergolek, kekayaan tidak pernah datang melayang. Ada harga yang perlu dibayar. Itulah keringat, usaha ikhtiar, membanting tulang dan kadang-kadang air mata yang terlebih dahulu dicurahkan sebelum kesenangan datang. Malangnya ramai yang lupa dan sering pula mencari jalan mudah yang sudah semestinya tidak mendatang. Kalau adapun, tidak berkekalan kerana selalunya yang datang dengan cepat, akan pergi juga dengan cepat.
Mencari dan mengumpul kekayaan? Apalah erti kekayaan sekiranya ia tidak mendatangkan ketenteraman, tidak menyumbang dan memberikan kesan yang baik kepada orang lain? Para ilmuan dan bijak pandai mengatakan, kekayaan yang sebenar adalah kekayaan jiwa. Maksudnya? Bukan wang ringgit yang boleh membahagiakan manusia, tetapi kasih sayang, keamanan dan kehormatan. Bukan harta bertimbun yang memberi jaminan keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat, tetapi kemurahan dan kemuliaan hati, kejujuran dan ketakwaan yang hakiki menjadi ukuran dan penilaian Ilahi.
Bagi aku dan yang masih tinggal di Naluri Pintar, perjuangan mesti diteruskan. Kalau tidak kami, siapa lagi yang akan meneruskannya? Di zaman ini, bukan mengangkat senjata caranya, tetapi dengan kekuatan minda, semangat dan jati diri yang menjadi kayu pengukur berjayanya satu-satu bangsa. Kerana kita juga perlu meneruskan kehidupan bukan sekadanr hanya meneruskan kehidupan tetapi mencapai sesuaitu yang tidak pernah kita capai sebelum ini.
Itulah yang harus kami (aku) pikul, setiap hari menjadi tanda tanya, inikan yang ku mahu, inikah yang mahu kuharungi? Kenapa perlu bersusah payah? Bukankah sudah cukup apa yang ada? Setiap hari aku mengatakan kepada diriku, inilah satu cara aku menyumbang untuk bangsa dan agamaku. Kalau tidak aku, siapa lagi? Kalau semua orang hanya berfikir tentang diri sendiri tanpa memikirkan tentang mereka yang lain, bagaimana dengan nasib mereka. Kini dalam kumpulan Naluri Pintar, terdapat lebih 60 orang pekerja yang menyumbang bakti setiap hari mencari rezeki untuk anak isteri dan keluarga. Bukan aku ingin berbangga, tetapi itulah sebenarnya tanggungjawab.
Perjalanan masih jauh. Jerih perit sudah pasti. Keringat dan membanting tukang sudah tentu. Kerana itulah harga dan pengorbanan, bagi sebuah cita-cita. Bukan hanya untuk diriku, tetapi bagi bangsaku, agamaku.. Bukan mudah tetapi akan aku teruskan selagi termampu, selagi nyawa dikandung badan...

No comments:
Post a Comment