
Secara spontan, apabila idea ingin dicari, Kolej melayu Kuala Kangsar ataupun MCKK adalah satu subjek pertama yang ingin saya lakarkan sebuah kisah. Memang bukan sesuatu yang pelik kerana ianya sebuah institusi yang banyak memberikan kesan bukan sahaja kepada saya tetapi juga ribuan yang lain yang pernah menetap, menuntut mahupun menjadi tenaga kerja dan pendidik di sekolah ini.
Ditubuhkan pada 1905 oleh pihak British atas cadangan daripada R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Cadangan itu disokong sepenuhnya oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I (1886—1916) yang menyumbang sebidang tanah di bandar diRaja Kuala Kangsar. Raja-Raja Melayu dari negeri-negeri Melayu bersekutu (Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang) turut menyokong usaha itu.
Pada awalnya, penubuhan sekolah ini ialah untuk mendidik dan melatih golongan elit Melayu, yang terdiri daripada kerabat diRaja. Anak lelaki kelahiran kebanyakan sukar untuk mendapat tempat di sekolah ini. Selepas kebangkitan nasionalisme orang Melayu pada sekitar tahun 1947, syarat kemasukan ke sekolah ini dilonggarkan dan semakin ramai anak-anak orang kebanyakan dapat peluang untuk menuntut di sini. Kini anak Melayu terpilih berpeluang mengikuti pembelajaran peringkat menengah di sekolah ini.
Seorang graduan Universiti Oxford yang berasal dari Ireland, William Hargreaves mendapat penghormatan untuk menjadi pengetua pertama sekolah ini dan sekolah ini ditadbir oleh pengetua dari Britain sehingga tahun 1965, di mana Abdul Aziz Ismail, seorang rakyat berbangsa Melayu diambil sebagai pengetua sempena ulangtahun ke-60, dan sehingga kini rakyat lelaki berbangsa Melayu memegang jawatan tersebut. Demikianlah perjalanan sebuah institusi yang turut melalui liku-liku zaman sebagaimana sebuah negara yang masih dalam pembinaannya turut melalui.
Pada tahun 1989, suasana politik tanahair agak panas. Ketika itu saya baru sahaja mendapat keputusan UPSR dari sebuah sekolah rendah di Kota Bharu. Sekolah rendah ini agak popular kerana kesemua anak-anak lelaki Sultan Kelantan masuk ke sekolah ini. Saya masih teringat ketika kami berkejar-kejaran dengan Tengku Muhammad Fakhry di perkarangan sekolah itu sewaktu rehat. Beliau ketika itu agak gempal orangnya. Saya dalam darjah 4 dan beliau di dalm darjah 3. Adalah biasa bagi orang kebanyakan seperti saya ingat akan peristiwa remeh seperti ini. Saya pasti beliau tidak akan ingat akan perkara ini.
Ditawarkan oleh Kementerian Pelajaran untuk memasuki sekolah asrama penuh (MCKK adalah salah sebuah daripada sekolah berasrama penuh) merupakan satu kenagan yang amat manis. Masih teringat ketika ibu saya membawa balik surat tawaran dari sekolah dengan linangan air mata. Masakan tidak, tidak ada seorangpun daripada ahli keluarga kami pernah bersekolah tinggi.
Bersambung...
